Tag Archives: berita harian

MBSB sasar salur pinjaman RM1b

MALAYSIA Building Society Bhd (MBSB) menyasar menyalurkan pinjaman berjumlah kira-kira RM1 bilion di bawah program pembiayaan perumahan ekslusif terbarunya, MBSB Ultimate dalam tempoh setahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ahmad Zaini Othman, berkata program yang menawarkan pembiayaan minimum RM500,000 pada kadar kompetitif itu dijangka mampu meningkatkan lagi portfolio pembiayaan perumahannya yang ketika ini berjumlah RM5 bilion.

Katanya, MBSB juga akan melaksanakan promosi agresif menerusi 33 cawangannya di seluruh negara bagi memasarkan program pembiayaan itu yang menawarkan tempoh pembayaran balik sehingga umur peminjam mencecah 70 tahun.

“Kami yakin, MBSB Ultimate yang menawarkan kadar terendah di pasaran mampu mencatatkan pengeluaran pembiayaan sehingga RM1 bilion dalam tempoh 12 bulan selepas pelancarannya.

“Malah, kami yakin MBSB mampu mengembalikan kedudukan sebagai peneraju utama dalam pasaran pembiayaan kewangan menerusi strategi dan keupayaan produk yang ditawarkan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program pembiayaan terbaru itu di Petaling Jaya, semalam.

Ia dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung. Hadir sama, Pengerusi MBSB, Tan Sri Abdul Halim Ali.

Menerusi MBSB Ultimate, Ahmad Zaini berkata, pelanggan boleh memilih jenis yang mereka mahukan, selain menikmati kadar simpanan pilihan yang tinggi serta tempoh bayaran balik sehingga umur 70 tahun.
Katanya, MBSB menyediakan dua kategori tempoh pinjaman balik iaitu sehingga tempoh 30 tahun atau berusia 65 tahun; dan skim khas bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas dengan tempoh bayaran dilanjutkan sehingga mereka berusia 70 tahun.

“MBSB Ultimate adalah ekspresi yang menjadi inspirasi MBSB dalam membangunkan program pembiayaan perumahan yang terbaik di pasaran,” katanya.